Pempengaruh Wanita Warga Singapura Didenda RM1,000 Buat Laporan Palsu Diculik

28/01/2025 01:29 PM

JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang pempengaruh wanita warga Singapura didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membuat laporan polis palsu kononnya dia telah diculik ketika berada di sebuah pusat beli-belah pada Rabu lepas.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Amyra Laila Ho, 45, selepas wanita itu mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis di Balai Polis Larkin pada 1.02 pagi, 22 Jan lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda. Wanita itu membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum.

Mengikut fakta kes, Amyra membuat laporan polis dengan mendakwa pada 1 tengah hari, 10 Jan lepas, ketika berada di bahagian belakang sebuah pusat beli-belah di Taman Abad di sini, dia didatangi seorang lelaki dan wanita berbangsa Cina yang mempromosikan minuman teh Cina kepadanya.

Dia mendakwa telah menolak permintaan itu, namun wanita berkenaan dikatakan mengarahkannya untuk menghidu minuman itu, kemudian mendakwa selepas menghidu, dia berasa kebas dan kepala menjadi pening.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata seorang wanita warga Singapura yang sebelum ini mendakwa dirinya menjadi mangsa cubaan culik di kawasan sebuah pusat beli-belah di Taman Abad pada 10 Jan lepas, didapati membuat laporan palsu.

Beliau berkata hasil siasatan menerusi bukti-bukti teknikal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mendapati insiden cubaan culik tersebut tidak berlaku dan mengesahkan tiada pergerakan mangsa dikesan di lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan