Polis Minta Henti Spekulasi Berhubung Jenazah Warga Emas Dipercayai Mualaf

28/01/2025 05:57 PM

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Polis menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih berhubung jenazah seorang warga emas lelaki berbangsa Cina yang dipercayai telah memeluk agama Islam, selepas berlaku salah faham antara seorang individu dengan ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata hal ini berikutan kes itu telah dirujuk status pengislaman ke Pejabat Agama di Machang dan telah disahkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bahawa mendiang tiada dalam rekod status pengislaman.

"Pada Ahad lepas lebih kurang pukul 2.30 petang, pengadu (pemandu van jenazah) menerima mayat seorang lelaki Cina warga tempatan berusia 70 tahun yang dibawa menggunakan van jenazah dari Thailand oleh isterinya yang berasal dari negara itu.

"Isteri mangsa kemudian telah meminta pengadu untuk menghantar kepada keluarganya di Kampung Banggol Pak Awang, Joh, Machang untuk urusan pengebumian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengadu berasa terkejut apabila adik mangsa memaklumkan kepadanya akan kebumikan jenazah terbabit dalam tempoh tiga hari sedangkan dia dimaklumkan bahawa mangsa seorang mualaf dan perlu dikebumikan segera.

"Pengadu kemudian membuat laporan polis semalam untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam di Kelantan mengenai status jenazah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Labok mengesahkan kematian mangsa disebabkan sakit jantung dan mempunyai rekod sejarah perubatan serta pernah menerima rawatan pesakit jantung di sebuah hospital swasta di Kota Bharu. Tiada unsur jenayah berlaku," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan