Lelaki Rempuh Pagar Tabika Kemas Ditahan Bersama Dadah

30/01/2025 06:09 PM

MELAKA, 30 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bersama sepaket dadah selepas kereta yang dipandu merempuh pagar sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Paya Luboh, Tangga Batu di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dadah dipercayai jenis heroin dianggarkan seberat 15.46 gram itu ditemukan dalam poket kanan seluar yang dipakai lelaki berusia 55 tahun berkenaan ketika polis melakukan pemeriksaan kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

“Suspek dibawa ke Hospital Melaka oleh anggota bertugas bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, namun suspek didapati tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang tidak bekerja itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah, namun saringan air kencing gagal dilakukan.

Christopher berkata semakan polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan