KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjalankan risikan bagi mengesan sekiranya terdapat sindiket lain yang melakukan penyeludupan rokok elektronik (vape).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket beroperasi di pintu masuk lain, berkata risikan dijalankan susulan kejayaan suruhanjaya itu menumpaskan sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini menerusi Ops Airways.
“Buat masa sekarang tiada tangkapan baharu. Walau bagaimanapun, terdapat pegawai kastam yang kini berada dalam radar pihak SPRM.
“Bahagian perisikan sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti semua suspek yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Baru-baru ini, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo KLIA, selepas menahan 14 individu termasuk enam pegawai kastam kerana disyaki bersekongkol dalam kegiatan berkenaan.
Sindiket itu dibongkar menerusi Op Airways yang menyaksikan semua suspek lelaki berusia 20 hingga 60-an itu ditahan dalam serbuan di sekitar KLIA dan Putrajaya, mengakibatkan negara mengalami kerugian dari segi kutipan cukai yang dianggarkan RM8 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial