KOTA BHARU, 2 Feb (Bernama) -- Sebutir peluru mortar lama berukuran 61 milimeter (mm) ditemukan berhampiran kawasan peranginan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata peluru berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki berusia 26 tahun yang sedang memancing di kawasan berkenaan kira-kira 2.28 petang.
"Saksi awam iaitu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun sedang memancing ikan di kawasan berkenaan sebelum menjumpai objek menyerupai peluru yang tersangkut di dalam tayar lama di kawasan berbatu berhampiran tebing sungai dan terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
"Sejurus menerima maklumat berkenaan, unit peronda MPV IPD Tumpat dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dikerah ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata hasil siasatan mendapati peluru tersebut adalah jenis mortar yang telah lama serta berkarat dan proses memusnahkannya dilakukan di lokasi penemuan pada hari sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial