Kilang Pengumpulan Sisa Elektronik, Bateri EV Di Bukit Rambai Terbakar

02/02/2025 06:58 PM

MELAKA, 2 Feb (Bernama) -- Sebuah kilang pengumpulan sisa elektronik dan bateri kenderaan elektrik (EV) di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai musnah dalam kebakaran di sini hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran kira-kira 12.50 tengah hari yang melibatkan premis separuh kekal itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Menurut JBPM Melaka, sebanyak 30 anggota terbabit dalam operasi pemadaman terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, BBP Cheng, BBP Melaka Tengah, BBP Ayer Keroh dan BBP Alor Gajah.

"JBPM Melaka menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.51 tengah hari sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) Tangga Batu dan satu water tanker dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kebakaran.

“Setibanya di lokasi kebakaran, pihaknya mendapati premis itu telah terbakar kira-kira 90 peratus dan sehingga 5 petang, operasi pemadaman api masih dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin menerusi laman Facebooknya memaklumkan beliau telah mengarahkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kilang berkenaan. 

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan kilang berkenaan beroperasi secara sah dan mengikut prosedur keselamatan selain mematuhi peraturan telah ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan