JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Polis memburu seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai melakukan khianat dengan membakar kereta isterinya selepas menyekat kenderaan itu di Jalan Tebrau, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian itu berlaku kira-kira 10.20 malam dan mangsa membuat laporan polis pada 1.33 pagi tadi.
Kejadian terbabit juga tular menerusi rakaman video berdurasi 28 saat memaparkan kereta Toyota Vios milik wanita berusia 21 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar.
“Kejadian dipercayai berlaku kerana perselisihan faham antara pasangan berkenaan. Suspek bertindak melarikan diri menggunakan Toyota Vellfire selepas melakukan perbuatan khianat itu.
"Empat individu termasuk tiga wanita yang menaiki kenderaan yang dibakar itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM90,000.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial