SEREMBAN, 3 Feb (Bernama) -- Sebanyak 405 kenderaan barangan dikenakan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina-Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan.
Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf berkata sebanyak 1,870 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh operasi itu iaitu sebelum perayaan pada 27 dan 28 Jan serta selepas perayaan pada 1 dan 2 Feb.
"Hasil pemeriksaan, JPJ mengesan 1,006 kesalahan dengan kesalahan tertinggi melibatkan kesalahan teknikal kenderaan sebanyak 230.
“Kesalahan lain antaranya tiada lesen memandu (159 notis), tiada perlindungan insurans (132), lesen kenderaan motor tamat tempoh (127) dan lain-lain kesalahan (226),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang operasi terbabit, sebanyak 19 kenderaan turut disita.
Hanif Yusabra berkata berdasarkan statistik, tahap pematuhan larangan pemanduan kenderaan barangan semasa musim perayaan didapati masih rendah dengan pelbagai alasan diberikan antaranya tidak mengetahui mengenai larangan pemanduan kenderaan berat.
Beliau berkata operasi dilakukan itu sejajar dengan usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya akibat percampuran trafik kenderaan barangan dan persendirian semasa musim perayaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial