Hina Agong: Ibu Lima Anak Didenda RM4,000

04/02/2025 01:47 PM

JOHOR BAHRU, 4 Feb (Bernama) -- Seorang ibu kepada lima anak didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghasut yang menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memerintah Norli Mohamed Yusof, 53, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu tukang jahit didakwa menerbitkan hantaran berkenaan di akaun Facebook Norli Nor pada pukul 2 petang, 11 Dis di Bandar Seri Alam, Johor Bahru.

Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan berikutnya boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Ab Latif dan Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam K. Bharathi dan P. Rajagunaseelan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan