PETALING JAYA, 5 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Ismanira Abdul Manaf dilihat seperti 'kosong', tiada perasaan dan tidak memberikan sebarang reaksi ketika pihak polis merakam percakapannya berhubung kes kehilangan anak lelakinya semasa berada di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai.
Insp Nina Syamimi Syamsuddin, 33, yang merupakan bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata beliau melihat keadaan itu semasa bertemu dengan Ismanira yang juga pengadu dan ibu kepada kanak-kanak autistik Orang Hilang (OH) itu di apartment berkenaan pada 5 Dis 2023.
"Keadaan pengadu (Ismanira) pada ketika itu seperti 'kosong'," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aqharie Durranie Aziz pada hari ketiga perbicaraan kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Disoal Aqharie Durranie mengenai maksud 'kosong', saksi pendakwaan keempat itu menjawab 'tiada perasaan dan tiada sebarang reaksi pada ketika itu.'
Nina Syamimi, yang kini bertugas di Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata semasa rakaman percakapan diambil, beliau turut meminta pengadu menceritakan semula bagaimana kejadian kehilangan kanak-kanak autistik itu.
"Pengadu menceritakan semasa pulang ke rumah, kanak-kanak itu tidak mahu pulang kerana mahu bermain buaian. Pengadu naik ke tangga bersama kanak-kanak itu yang berjalan di belakang dan pengadu mendapati tidak mendengar tapak kaki kanak-kanak itu dan apabila menoleh ke belakang, anaknya didapati hilang.
"Sewaktu kejadian, pengadu memaklumkan dia memegang barang yang baru dibeli pada tangan kanan dan kirinya… apabila tidak mendengar tapak kaki kanak-kanak itu, pengadu meninggalkan barang itu di tangga kemudian menoleh ke belakang dan mendapati kanak-kanak itu tiada. Pengadu mencari di sekitar Blok R hingga 1 tengah hari sebelum menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian itu," kata saksi.
Nina Syamimi berkata beliau kemudian meminta pengadu menandatangani Nur Alert bagi membuat hebahan, namun Ismanira memaklumkan bahawa dia ada membuat hebahan di Facebook mengenai kehilangan anak lelakinya itu.
Terdahulu, Nina Syamimi berkata beliau menerima laporan polis daripada Balai Polis Sri Damansara pada 5.51 petang 5 Dis 2023 melalui panggilan telefon daripada Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki.
Saksi itu berkata Nurul Khairina memaklumkan kepadanya seorang wanita berusia 28 tahun bernama Ismanira Abdul Manaf menyatakan anak lelakinya berumur enam tahun merupakan kanak-kanak autistik telah hilang semasa berada di Blok R Apartment Idaman.
Nina Syamimi berkata beliau kemudian bercakap dengan pengadu melalui panggilan telefon dan Ismanira memberitahu anaknya merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya autistik dan telah hilang pada 12 tengah hari, 5 Dis 2023.
"Saya ada bertanya kenapa pengadu membuat laporan polis lewat dan pengadu memberitahu dia cuba mencari di kawasan persekitaran (apartmen) dahulu serta menghubungi suaminya selain mendapatkan nasihat daripada jiran. Selepas itu, jiran menasihati pengadu untuk membuat laporan polis dan saya meminta pengadu datang ke IPD Petaling Jaya untuk merakam percakapannya," kata saksi.
Nina Syamimi berkata pada 7 malam hari sama (5 Dis 2023) beliau menerima panggilan telefon daripada Ketua Blok R di apartmen berkenaan yang memaklumkan seorang kanak-kanak ada terlihat kelibat anak pengadu di blok terbabit.
"Saya menghubungi semula Ismanira dan memintanya untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan ketua blok itu, namun pengadu berkeras untuk berjumpa dengan saya di IPD Petaling Jaya.
"Saya juga ada bercakap dengan suami pengadu dan dia meninggikan suara untuk berjumpa dengan saya dahulu. Saya mengenali suami pengadu melalui penggilan telefon itu," katanya dan menambah beliau ada menghubungi Ketua Blok R untuk menunggu pengadu dan suaminya di apartmen itu.
Sementara itu, bekas pegawai penyiasat kanan IPD Petaling Jaya ASP Nor Zaharuddin Sanip, 42, berkata pada 5 Dis 2023, beliau telah mengarahkan Nina Syamimi untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba manakala beliau pula menghubungi unit anjing pengesan (K9) Bukit Aman.
Nor Zaharuddin yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara berkata Unit K9 bersama dua anjing telah melakukan pencarian di kawasan belukar, anak sungai dan kebun meliputi radius 700 meter dari Blok R.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan kelima itu berkata Unit K9 tidak dapat mengesan berikutan keadaan cuaca hujan, pencemaran bau dan kawasan itu telah dimasuki orang ramai.
Pada prosiding hari ini, Aqharie Durranie mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan persekitaran Apartmen Idaman yang dikaitkan dengan kes 'Orang Hilang' ekoran laporan polis yang dibuat Ismanira sebelum meneruskan pemeriksaan utama terhadap dua saksi pendakwaan itu.
Mahkamah menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-dua saksi itu sementara menunggu lawatan akan dilakukan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Perbicaraan kes bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial