38.6kg Dadah Dirampas,lebih 2,000 Individu Ditahan Di Perak Sejak Januari

07/02/2025 03:28 PM

IPOH, 7 Feb (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak merampas 38.6 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM770,766 menerusi Op Tapis sejak Januari hingga semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata sepanjang tempoh itu juga, 2,293 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 87 individu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Rampasan membabitkan dadah sintetik jenis syabu dianggarkan seberat 3.1 kg, ketamin (1.4 kg), ecstasy (2.8 kg), erimin 5 (1.3 kg), pil Yaba (5.06 gram) manakala dadah tradisional membabitkan heroin (29.6 kg) serta ganja (0.3 kg)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Zulkafli berkata pihaknya turut menyita harta bernilai RM748,855 sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan, khususnya pihak polis.

“Justeru itu, PDRM Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembenterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan