Insiden Tembakan Di Setia Alam: KPN Nasihat Elakkan Spekulasi Hingga Timbulkan Kegelisahan Awam

09/02/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor di sini, malam tadi. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata sebarang spekulasi berkenaan kes itu boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

"Kami faham bahawa timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum di seluruh negara kini akan diperketatkan susulan kejadian di Setia Alam itu.

Katanya, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi kejadian juga sudah diarahkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

Terkini, Razarudin memaklumkan bahawa polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

"Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada," katanya.

Media semalam melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu itu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan