Op Sky: SPRM Akan Panggil 18 Lagi Individu

09/02/2025 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 18 individu lagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan menerusi Op Sky.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sudah merakam keterangan daripada 39 individu bagi membantu siasatan, setakat ini.

"Seramai 18 individu yang sudah dikenal pasti ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan berhubung kes terbabit masih berjalan dan pihaknya memerlukan masa untuk melengkapkan keseluruhan siasatan.

Beliau berkata kerjasama dengan beberapa pihak bank sedang dijalankan bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan pinjaman oleh pelanggan yang dikenal pasti.

Jumaat lepas, SPRM merakam keterangan tiga selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan tersebut selepas disyaki menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

Dalam operasi Op Sky Januari lepas, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan

Operasi yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu berjaya menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam. Kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank yang melibatkan lebih RM17 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan