ALOR GAJAH, 9 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup 10 arnab bernilai RM15,000 di perairan Pantai Pengkalan Balak, tengah malam tadi.
Pengarah Maritim negeri Kepten (M) Mohd Khairi Abd Aziz berkata serbuan dilaksanakan pada 12.10 tengah malam oleh pasukan darat dan laut selepas menerima maklumat berkaitan pergerakan mencurigakan di perairan berkenaan.
“Ketika operasi dijalankan, pasukan penguat kuasa menemukan tiga sangkar berisi 10 ekor arnab ditinggalkan di tepi pantai dan berdasarkan pemerhatian awal, arnab-arnab terbabit dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini tanpa melalui prosedur sah.
“Kami percaya kehadiran bot penguat kuasa disedari oleh suspek menyebabkan suspek melarikan diri ke kawasan perairan cetek menggunakan bot gentian kaca dilengkapi enjin sangkut 60 kuasa kuda bagi mengelak daripada ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairi berkata sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam sehari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial