KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu dan pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta melibatkan urusan jual beli sarung tangan, lima tahun lepas.
R. Gopinatan Pillai, 60, didakwa atas satu pertuduhan menipu seorang individu supaya mempercayai bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis Coats Nitrile Examination berjenama Hartalega telah sedia ada di Hartalega Sdn Bhd untuk dijual dan diserahkan oleh syarikat Aspen Broadway Sdn Bhd milik tertuduh kepada sebuah syarikat lain, sedangkan stok sarung tangan tersebut tidak wujud.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM5.1 juta menerusi sebuah firma guaman ke dalam akaun bank milik sebuah firma guaman lain yang dilantik Aspen Broadway sebagai peguam syarikat tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, dekat sini, pada 9 Nov 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Bapa dua anak itu turut didakwa atas enam pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,005,000 daripada akaun bank syarikatnya (Aspen Broadway) ke dalam beberapa akaun bank milik syarikat lain dan akaun peribadinya.
Dia juga dituduh atas satu pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5.1 juta daripada akaun bank sebuah firma guaman ke dalam akaun bank milik syarikatnya.
Ketujuh-tujuh kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank di Sentul di sini antara 10 Nov 2020 dan 6 Feb 2021.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong menawarkan jaminan RM2.5 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, mengambil kira faktor kerugian adalah besar iaitu RM5.1 juta.
Peguam K. Komagan mewakili Gopinatan Pillai memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan lelaki itu diikat jamin RM280,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula ditetapkan pada 26 Mac ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial