Dua Lelaki Warga Taiwan Didakwa Perdagang Senjata Api, Miliki Peluru  

10/02/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Dua lelaki warga Taiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memperdagangkan senjata api serta memiliki 900 butir peluru, bulan lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Cheng Ming Hung, 26, dan Hsueh Chun Ta, 33, didakwa bersama-sama memperdagangkan senjata api iaitu 14 pucuk pistol dan satu laras sub machinegun tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Desa ParkCity, Sentul di sini pada 5.30 petang, 16 Jan lepas.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Cheng dan Hsueh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama ‘five-seven MK2P’ bersama dua kelopak peluru kosong tanpa sebab yang sah, dalam almari di rumah sama pada masa dan tarikh serupa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Berbahaya 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki 14 pucuk pistol, satu laras sub machinegun dan 900 butir peluru tanpa kebenaran sah pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan enam sebatan.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan alasan pertuduhan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan kes. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan