Dua Lelaki Didakwa Terlibat Rusuhan Bersenjatakan Pisau Depan Pusat Hiburan

10/02/2025 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh bersenjatakan pisau dalam kejadian langgar lari membabitkan dua kenderaan di depan sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Agilan Gunasegaran, 26, dan Anbu Selvan Ganesan, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil bahagian dalam rusuhan dan semasa rusuhan tersebut memiliki pisau yang digunakan untuk menyerang di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, dekat sini pada 6.18 pagi, 29 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Vivi'Asnita Zaina'Larifin tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua lelaki itu namun peguam Varghese Onny memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan mereka menanggung keluarga.

"Agilan bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan pendapatan RM1,800 manakala Anbu Selvam seorang pekerja kilang yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,500. Mohon kedua-dua tertuduh diberikan ikat jamin," kata peguam itu.

Majistret M.S Arunjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes.

Minggu lepas, tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 18 tahun yang terlibat dalam insiden sama didakwa atas pertuduhan serupa.

Sebelum ini, tular video berdurasi 48 saat menerusi Facebook memaparkan dua kenderaan dipandu secara melulu dan dilihat dengan sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dilihat tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux manakala sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Vios turut merempuh lebih ramai individu yang berkumpul di kawasan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan