Lelaki Ditahan Terkait Kes Tembakan Di Kluang

11/02/2025 12:55 PM

KLUANG, 11 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan kerana disyaki terkait dengan satu kejadian melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata lelaki tersebut ditahan di Pusat Setia Perdagangan Simpang Renggam pada 7 malam. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian melepaskan tembakan itu berlaku pada 12.17 tengah hari, dengan suspek telah melepaskan beberapa das tembakan.

“Kejadian berlaku semasa mangsa yang sedang berada di rumahnya ternampak sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna maroon masuk ke halaman rumah dan semasa berdiri di hadapan pintu dia telah didatangi tiga lelaki.

“Kemudiannya, seorang daripada suspek mengeluarkan pistol dari pinggangnya dan mengacukan kepada mangsa serta suaminya sebelum melepaskan empat das tembakan. Mereka kemudiannya melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Bahrin berkata tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan dilakukan.

“Suspek yang ditahan mempunyai 27 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah. Pihak polis kini masih mencari individu yang mempunyai kaitan dalam kejadian tersebut dan dianggarkan tujuh orang terkait dengan kes ini,” katannya.

Beliau berkata permohonan reman akan dilakukan hari ini di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan