APMM Tahan Lima Warga Myanmar Tangkap Ikan Di Kawasan Tidak Dibenarkan

11/02/2025 05:49 PM

SHAH ALAM, 11 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan lima lelaki Myanmar termasuk seorang tekong bot nelayan kerana menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan di kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Pulau Tengah, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kesemuanya berusia antara 18 hingga 42 tahun ditahan semasa mengendalikan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C sekitar 12 tengah hari, menerusi operasi rutin APMM di perairan Selangor.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di vesel itu dan melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang 15 batu nautika dari daratan.

“Mereka juga didapati melanggar syarat tambahan iaitu tidak mengibarkan bendera Malaysia semasa belayar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Kelima-lima mereka, vesel dan tangkapan ikan dianggar seberat 50 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah, Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan