Tukang Besi Terlibat Pergaduhan Menyebabkan Kecederaan Parah Direman Tujuh Hari

12/02/2025 12:03 PM

JOHOR BAHRU, 12 Feb (Bernama) -- Seorang tukang besi yang disyaki terlibat dalam pergaduhan bersenjata hingga mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki semalam direman tujuh hari sehingga 18 Feb.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 45 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berkata pihaknya menahan seorang lelaki yang terlibat dalam insiden tular pergaduhan bersenjata di kawasan Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini, petang semalam.

Beliau berkata satu panggilan kecemasan MERS 999 diterima pada pukul 2.29 petang daripada orang awam yang melaporkan kejadian pergaduhan melibatkan dua individu.

Raub berkata siasatan awal mendapati pergaduhan antara mangsa, lelaki 43 tahun yang tidak bekerja, dengan suspek iaitu lelaki 45 tahun itu, berpunca daripada  pergaduhan mulut antara kedua-dua lelaki itu yang berada dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana mengalami kecederaan parah dan kini berada di wad untuk rawatan lanjut, sementara suspek telah ditahan dilokasi kejadian bersama rampasan sebilah pisau pemotong daging.

Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkait kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala mangsa mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Raub berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methapetamine.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan