Ulang Tahun Ke-20: Maritim Malaysia Terus Perkukuh Operasi, Strategi

14/02/2025 12:33 PM

 

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan operasi, teknologi dan kerjasama strategik selaras cabaran maritim global yang semakin kompleks, kata Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Dalam satu temu bual eksklusif sempena ulang tahun ke-20 Maritim Malaysia esok, beliau menekankan kepentingan beberapa teras utama di bawah kepimpinannya bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) terus terpelihara.

"Maritim Malaysia akan terus meningkatkan keupayaan operasi melalui pelaburan dalam aset moden seperti kapal peronda berteknologi tinggi, sistem pemantauan bersepadu, penggunaan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan pengawasan perairan," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan modal insan adalah antara aspek utama yang diberikan perhatian bagi memastikan anggota Maritim Malaysia sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa.

"Latihan berterusan, pembangunan profesional dan pengiktirafan bakat muda adalah elemen penting dalam memperkasakan setiap anggota supaya lebih kompetitif dan berdaya saing," katanya.

Selain itu, Mohd Rosli berkata Maritim Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama antarabangsa menerusi latihan bersama, perkongsian maklumat serta perjanjian strategik dengan negara jiran dan badan antarabangsa.

"Sebagai sebuah agensi maritim di negara yang memiliki kedudukan strategik, kerjasama dengan rakan serantau amat penting dalam menangani jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan perairan," katanya.

Dalam menghadapi perubahan global yang pantas, beliau menekankan agar Maritim Malaysia sentiasa bersedia menghadapi ancaman baharu seperti serangan siber terhadap sistem keselamatan maritim dan perubahan modus operandi jenayah maritim yang semakin kompleks.

“Bukan setakat itu, ancaman-ancaman yang sebelum ini dihadapi juga akan berubah secara dinamik, menyaksikan sindiket jenayah akan memanfaatkan teknologi bagi membantu modus operandi mereka. Justeru, warga Maritim Malaysia haruslah peka dengan perubahan ini.

"Selain itu, Maritim Malaysia akan terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan laut, termasuk menangani pencemaran maritim dan menyokong pemuliharaan biodiversiti. Ini adalah bagi memastikan kelestarian sumber maritim yang menjadi asas sumber makanan bagi rakyat terus terpelihara,” katanya.

Mohd Rosli berkata kawalan efektif terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara melalui penguatkuasaan undang-undang maritim yang tegas dan berintegriti akan menjadi misi bagi setiap warga Maritim Malaysia.

“Saya juga berhasrat untuk menjadikan Maritim Malaysia sebuah agensi penguatkuasaan maritim yang bertaraf dunia, dihormati di peringkat antarabangsa dan menjadi contoh teladan kepada negara lain dalam memastikan keselamatan maritim serantau,” katanya.

Beliau berkata segala usaha ini sejajar Pelan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033 serta Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 yang menjadi panduan utama dalam memastikan agensi ini kekal sebagai agensi penguatkuasaan maritim bertaraf dunia.

“Dengan langkah itu, saya yakin Maritim Malaysia akan terus mengekalkan keselamatan maritim negara  sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dalam jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan