Bicara Kes Avitan Shalom Akan Dijalankan Dalam Bahasa Inggeris

14/02/2025 02:29 PM

KAJANG, 14 Feb (Bernama) -- Perbicaraan kes  lelaki warga Israel Avitan Shalom yang berdepan dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru di sebuah bilik hotel akan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Keputusan itu dibuat selepas peguamnya Jeffrey Ooi memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zaki Mohd Salleh bahawa tertuduh bersetuju perbicaraan berlangsung dalam bahawa berkenaan sekiranya terdapat jurubahasa bertauliah. 

"Pihak kami telah berbincang dengan tertuduh dan dia memaklumkan sekiranya ada jurubahasa yang bertauliah dan boleh berkomunikasi dengannya, dia bersedia untuk perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

"Dalam kes itu, peguam utama Datuk Naran Singh telah menarik diri dan kami telah menyemak fail berkaitan isu permohonan (permintaan untuk jurubahasa Ibrani), tetapi kami tidak memperoleh arahan terkini (daripada Naran)," kata Ooi semasa pengurusan kes di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mohd Zaki menetapkan semula tarikh perbicaraan selama 14 hari bermula Mac ini, dengan sesi berlangsung di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang. Tarikh itu adalah pada 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun 2025.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam sebelum itu mempersoalkan tindakan pembelaan yang sebelum ini telah beberapa kali memohon penangguhan perbicaraan kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani namun kini bersedia untuk dibicara dalam bahasa Inggeris.

"Sebelum ini, Naran memohon penangguhan bagi menyelesaikan isu jurubahasa dan pendengaran bagi penangguhan telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Feb ini. Pihak pendakwaan ingin tahu sekiranya permohonan ini masih ingin diteruskan oleh pembelaan," katanya.

Hakim Mohd Zaki mengarahkan pihak-pihak yang terlibat untuk memaklumkan sebarang keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu itu kepada mahkamah yang mendengar perbicaraan.

"Isu mengenai penangguhan dan jurubahasa telah diangkat ke Mahkamah Tinggi, tunggu hingga 28 Feb ini dan sebarang arahan akan diputuskan kemudian.

"Di Mahkamah Tinggi nanti pun kita tak tahu peguam mana yang akan muncul, sama ada Ooi (Jeffrey Ooi) atau peguam lain," kata hakim itu.

Pada 13 Jan lepas, Hakim Norina Zainol Abidin yang sebelum ini mendengar kes berkenaan membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini berikutan isu pertikaian daripada pembelaan mengenai jurubahasa Ibrani. 

Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata. 

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atai kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Avitan juga didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan. 

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan