Bekas Banduan Ditahan Curi Kabel Di Teluk Intan

14/02/2025 04:20 PM

TELUK INTAN, 14 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dengan enam kegiatan mencuri kabel pencawang telekomunikasi sekitar daerah Teluk Intan sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta Proton Gen2 di Taman Industri Anson kira-kira 2.30 petang Isnin lepas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan beberapa barangan, antaranya alat pemotong wayar, mesin pencanai, pemutar skru serta peralatan lain untuk mencuri kabel selain lima beg berisi wayar tembaga. 

“Suspek yang merupakan bekas juruteknik pencawang syarikat telekomunikasi baharu sahaja keluar dari penjara Disember tahun lepas berkaitan kes kecurian kabel di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Beliau berkata suspek mengaku terlibat dengan kes kecurian kabel melibatkan pencawang telekomunikasi pelbagai rangkaian dengan nilai kerugian dianggarkan melebihi RM60,000.

Ahmad Adnan berkata modus operandi suspek ialah mencuri kabel secara berseorangan dan mengambil swafoto di setiap kawasan kabel pencawang telekomunikasi yang dicurinya untuk simpanan peribadinya, selain menjual kabel itu di kedai barangan lusuh di sekitar Teluk Intan.

“Suspek yang didapati positif methamphetamine direman selama seminggu sejak Selasa lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun kerana dipercayai terlibat dengan dua kes samun barangan kemas membabitkan dua wanita di sekitar daerah berkenaan.

“Suspek ditahan di tepi Jalan Sungai Manik di sini kira-kira 10 malam pada 5 Feb lepas.

“Selain itu suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes kecurian kabel dan dadah serta telah direman sejak 6 Feb sehingga kini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan