IPOH, 16 Feb (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang pemandu pacuan empat roda berwarna kelabu yang disyaki dengan sengaja merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Taman Manggis, Teluk Intan, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian itu, seorang lelaki yang juga mangsa berumur dalam lingkungan 30-an tampil membuat laporan pada 4 petang.
“Kita telah kenal pasti suspek berusia 42 tahun dan dipercayai dengan sengaja melanggar kereta Honda Civic milik mangsa sebanyak dua kali di bahagian hadapan bagi menghentikannya.
“Pada pelanggaran kedua, suspek berjaya menghentikan kereta mangsa dan cuba keluar dari kenderaan pacuan empat rodanya namun mangsa terus bergerak dari lokasi untuk menyelamatkan diri dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 53 saat yang memaparkan kenderaan pacuan empat roda dengan sengaja merempuh sebuah kereta.
Ahmad Adnan berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan pihaknya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan laporan polis dibuat seorang warga emas pada 22 Okt lepas mengenai ugutan daripada suspek berhubung perniagaan yang dijalankan antara kedua-dua pihak, lima tahun lepas.
“Suspek telah menggugut warga emas berkenaan melalui helaian kertas yang disebarkan melalui dron. Difahamkan warga emas dan mangsa yang dilanggar oleh suspek juga merupakan rakan perniagaan,” katanya dan turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-6299222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial