SOSMA Perlu Diperhalusi, Tidak Jejaskan Keadilan Dan Martabat Manusia - Lee Lam Thye

16/02/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu diperhalusi bagi memastikan ia tidak menjejaskan prinsip keadilan dan martabat manusia, kata Pengerusi Alliance For A Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee dalam kenyataan hari ini berkata walaupun objektif untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan tidak boleh dinafikan, adalah sama pentingnya agar langkah-langkah berkenaan tidak mengorbankan hak asasi manusia dan kebebasan sivil.

Beliau berkata keseimbangan antara keselamatan dan hak asasi manusia perlu dikekalkan dengan teliti bagi memastikan usaha penguatkuasaan tidak membawa kepada penahanan sewenang-wenangnya, penyalahgunaan atau penghakisan kuasa.

“Ketika kita bergerak ke hadapan, adalah penting bahawa sebarang undang-undang keselamatan, termasuk SOSMA, tertakluk kepada semakan berkala untuk mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan kesesuaian dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Reformasi perlu melibatkan pemantauan kehakiman yang lebih besar, perlindungan terhadap penahanan yang berpanjangan tanpa perbicaraan, dan mekanisme yang lebih kukuh untuk mencegah penyalahgunaan. Agensi penguatkuasaan undang-undang mesti bertanggungjawab memastikan undang-undang itu dilaksanakan secara adil dan tidak menyasarkan mana-mana kumpulan tertentu secara tidak seimbang,” katanya.

Lee berkata kebimbangan utama mengenai SOSMA adalah tempoh penahanan yang panjang tanpa perbicaraan, yang menimbulkan persoalan tentang hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang.

Beliau berkata anggapan bahawa beberapa kesalahan tidak membenarkan jaminan juga meningkatkan risiko penahanan yang salah, yang memberi kesan secara tidak adil kepada individu yang mungkin belum terbukti bersalah.

“Keselamatan dan hak asasi manusia tidak saling bertentangan, ia mesti wujud bersama untuk membina masyarakat yang adil dan stabil. Pendekatan seimbang yang menegakkan keselamatan negara sambil melindungi hak asasi adalah satu-satunya jalan ke hadapan bagi memastikan kepercayaan orang ramai dan integriti sistem perundangan kita,” katanya.

SOSMA diwujudkan sebagai rangka kerja undang-undang untuk menangani ancaman keselamatan negara, khususnya yang melibatkan keganasan, jenayah terancang dan aktiviti yang mengganggu-gugat ketenteraman awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan