Kes Tembak Pulau Ketam: Suspek Bertanya Tentang Bot, Cuba Lari Ke Negara Jiran

18/02/2025 05:06 PM

KLANG, 18 Feb (Bernama) -- Suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam yang maut dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam di sini pagi tadi dipercayai merancang untuk melarikan diri ke negara jiran.

Seorang pengusaha restoran di Pulau Ketam yang mendedahkan perkara itu berkata suspek ada bertanyakan tentang perkhidmatan bot ke Thailand sejurus tiba di perkampungan tersebut petang semalam.

Beliau berkata suspek memberitahunya mahu ke Thailand untuk berjumpa dengan isteri dan anaknya yang sudah berada di sana. 

"Ketika membeli makanan, lelaki itu beritahu yang dia terpaksa memilih menggunakan bot kerana tidak boleh menggunakan perkhidmatan kapal terbang disebabkan pasportnya disenarai hitam.

"Dia kata mahu berjumpa anak dan isterinya kerana rindu, mungkin sudah lama tidak berjumpa," kata lelaki yang enggan mendedahkan identitinya itu ketika ditemui media di lobi hotel tempat berlaku insiden berbalas tembak di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditembak mati kira-kira 3 pagi tadi dalam serbuan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Selangor yang menjejaki suspek sejak insiden melepaskan tembakan di pusat beli-belah berkenan pada malam 8 Feb lepas.

Sementara itu seorang pekerja hotel yang hanya mahu dikenali sebagai Cha, 33, berkata suspek mendaftar masuk ke hotel yang terletak berdekatan jeti pada 5.15 petang semalam dengan memakai topi dan membawa satu beg plastik kecil.

Beliau berkata lelaki itu kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.

"Ketika kejadian sekitar 3 pagi itu, saya terkejut dan terbangun dari tidur selepas terdengar bunyi kecoh dan beberapa das tembakan di tingkat bawah hotel," katanya.

Cha berkata beliau serta 12 individu yang menginap di hotel itu tidak pasti dengan apa yang berlaku, sebelum diarahkan keluar dari bilik hotel oleh pihak polis yang membuat serbuan.

Beliau berkata keadaan hotel kembali tenang selepas polis selesai menjalankan siasatan awal dan membawa mayat suspek keluar dari lokasi kejadian kira-kira enam jam kemudian.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan