Polis Tahan Pemandu Lori Disyaki Terlibat Curi Kayu Bakau

19/02/2025 05:40 PM

JASIN, 19 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu lori kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kayu bakau di kawasan hutan paya bakau Ayer Tawar-Sebatu di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 6.30 petang semalam, bersama lori membawa muatan kayu bakau disyaki diperoleh secara tidak sah dari hutan paya berkenaan, hasil maklumat orang awam.

"Pemeriksaan terhadap lori menemukan 145 kayu bakau dianggarkan bernilai RM2,500 hingga RM3,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek diserahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 kerana mencuri hasil hutan. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan bagi mengesan dalang utama kegiatan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan