SPRM Tahan Penolong Jurutera Universiti Awam Disyaki Salah Guna Kuasa

25/02/2025 01:51 PM

JOHOR BAHRU, 25 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penolong jurutera universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melupuskan sisa binaan bagi sebuah projek menaik taraf hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 44 tahun itu telah ditahan kira-kira 7 malam tadi di Pejabat SPRM Johor di sini.

Difahamkan, suspek telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai wakil universiti bagi sebuah projek menaik taraf infrastruktur dan sistem mekanikal, elektrikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai lebih RM13 juta dengan melupuskan sisa binaan tersebut hingga menyebabkan pihak universiti berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM500,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini membenarkan reman tujuh hari terhadap suspek.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid mengeluarkan tempoh reman itu hingga 3 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan