Wanita Rugi Lebih RM100,000 Ditipu "Scammer"

25/02/2025 02:31 PM

SEREMBAN, 25 Feb (Bernama) -- Seorang wanita berusia 45 tahun kerugian RM116,039 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang disertainya sejak Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan pada 3.38 petang semalam di Balai Polis Mantin, selepas pengadu berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi Weibo (China) pada 9 Dis lepas.

Beliau berkata lelaki berkenaan kemudiannya menawarkan skim pelaburan tersebut sebelum meminta pengadu membuat beberapa transaksi.

“Wanita itu dijanjikan pulangan lumayan dan telah membuat transaksi ke dalam akaun diberikan yang keseluruhan berjumlah RM116,039.

“Pengadu sedar ditipu selepas tidak dapat membuat pengeluaran wang pelaburan dan keuntungan dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan serta  menahan suspek.

Abdul Malik menasihatkan orang awam agar membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan