KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Seorang bekas banduan dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan berbaiah, memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua dihadapi Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 41, manakala 15 tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat, serta memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Jun tahun lepas.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Nik Mohd Shalahuddin didakwa memiliki 1,398 keping gambar, 62 buah video dan 565 artikel dalam bentuk PDF dalam dua buah telefon bimbit, yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas Daesh di Kampung Senang, Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan pada 9.15 pagi, 10 Jun tahun lepas.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas.
Nik Mohd Shalahuddin yang sebelum ini bekerja sebagai pekebun turut didakwa mengaku keahlian kumpulan pengganas dengan cara melakukan upacara baiah dengan pemimpinnya Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah, untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu di tempat dan tarikh sama.
Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam II pada 10 Jun tahun lepas dan pautan itu dilihat di Pejabat Bahagian E8M, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada tarikh serupa.
Pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan itu mengikut Perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas.
Pada prosiding hari ini, Nik Mohd Shalahuddin yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia tidak ingin membuat sebarang rayuan mengenai hukuman yang akan dijatuhkan.
“Tiada apa yang saya ingin katakan mengenai hukuman dan saya takkan merayu apa-apa sama ada hari ini atau selepas ini. Saya tidak minta simpati dan saya akan bersabar dengan ujian ini,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengikut peruntukan undang-undang dan trend kesalahan sama, selain mengambil kira faktor tertuduh yang sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun pada 2019 atas kesalahan serupa di bawah Seksyen 130JB (1) Kanun Keseksaan.
“Isu keganasan merupakan isu hangat membabitkan keselamatan negara dan ini jelas terbukti melalui insiden serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. Penangkapan tertuduh adalah hasil tindakan susulan pihak polis yang giat mengesan semula ahli kumpulan pengganas di seluruh negara.
“Memandangkan kesalahan ini melibatkan ancaman keselamatan yang serius, pihak pendakwaan memohon agar hukuman sesuai dikenakan mengambil kira rekod kesalahan lampau tertuduh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial