Bung Moktar, Isteri Akan Fail Semakan Terhadap Keputusan Perintah Bela Diri

28/02/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pihak pembelaan yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bahawa pihaknya akan memfailkan semakan berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Kedua-dua anak guam kami mengarahkan supaya satu permohonan semakan difailkan di Mahkamah Rayuan," kata Athimulan yang mengendalikan kes bersama peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette,

Menurut Athimulan selepas permohonan semakan itu difailkan, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan bagi penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini sehingga pendengaran semakan diputuskan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon supaya pihak pembelaan mengemukakan permohonan penangguhan perbicaraan secara bertulis selain tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

Hakim Rosli mengekalkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025, dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan kes.

Mahkamah Rayuan pada 18 Nov lepas memerintahkan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Sept 2023.

Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan