PORT DICKSON, 3 Mac (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di laut berdekatan Jalan Pantai berhampiran Jeti Nelayan Kampung Gelam, di sini semalam.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Kamal Mohd Timar berkata mayat mangsa ditemukan pada 12.28 tengah malam di permukaan pantai sektor C dalam jarak 50 meter dari tempat mangsa terjatuh.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 23 anggota termasuk dua pegawai kanan selain dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Kemang, yang turut sama membuat pemantauan di pesisir pantai.
"Anggota PPDA terdiri daripada dua sektor membuat penyelamatan di permukaan air pada radius 50 meter dari pesisir pantai bagi mencari dan menyelamat mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di Lukut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial