KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Independent Authority Against Corruption (IAAC) Mongolia bagi memperkasakan kerjasama strategik memerangi rasuah.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu ditandatangani di Bangunan IAAC, Ulaanbaatar, Mongolia pada Selasa lepas oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bersama Pengarah dan Ketua Pesuruhjaya IAAC Dashdavaa Zandraa dengan memberikan fokus kepada perkongsian maklumat, pengalaman serta kaedah terbaik dalam memerangi gejala rasuah.
Menurut SPRM, Azam dalam ucapannya pada majlis itu berkata pemeteraian MoU berkenaan adalah hasil perbincangan awal semasa mesyuarat dua hala Persidangan Negara-Negara Pihak kepada UNCAC (COSP) di Atlanta, Amerika Syarikat pada 2023.
"MoU ini bukan sekadar perjanjian formal, tetapi merupakan langkah penting dalam usaha memerangi rasuah secara efektif melalui perkongsian amalan terbaik, pembinaan kapasiti dan pengukuhan kerjasama dalam siasatan.
"Tiada negara yang mampu menangani isu rasuah secara bersendirian dan kolaborasi antarabangsa ini adalah kunci kepada kejayaan," katanya.
Menurut SPRM lagi, MoU yang ditandatangani itu juga merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara SPRM dengan agensi antarabangsa dalam usaha bersama membanteras rasuah.
Selain itu, delegasi SPRM mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara Mongolia Jargalsaikhan Banzragch di pejabatnya pada Rabu bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara SPRM dengan institusi penguatkuasaan di negara itu.
“Delegasi SPRM turut berpeluang mengunjungi Pusat Latihan Baharu IAAC yang berfungsi sebagai hab latihan dan pembangunan kapasiti pegawai-pegawai antirasuah di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial