PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony hari ini kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.
Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Mahkamah memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 selepas mahkamah itu turut mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Peter telah membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan penghakiman berkata mahkamah rayuan tidak seharusnya mengubah penemuan fakta oleh mahkamah rendah, kecuali jika penemuan tersebut terbukti salah.
“Ini amat penting terutamanya apabila kesimpulan yang dibuat bergantung secara langsung kepada kredibiliti saksi serta tanggapan yang dibentuk oleh mahkamah, yang secara langsung memerhati dan menilai kejujuran serta ketepatan mereka.
“Kami yakin bahawa Mahkamah Sesyen telah menjalankan penilaian kehakiman yang menyeluruh terhadap bukti yang dikemukakan dan kami tidak menemui sebarang kesilapan yang membolehkan campur tangan oleh mahkamah rayuan. Oleh itu, kami berpendapat bahawa sabitan terhadap tertuduh adalah selamat. Kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah rayuan juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa perayu telah memalsukan surat dengan niat untuk melakukan penipuan dan memperdaya saksi pendakwaan ketiga (SP3) Mohd Shukur Mohd Din, SP8 (bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang) serta SP9 (bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said) untuk mempercayai bahawa surat tersebut berkaitan dengan projek Perkongsian Pintar.
"Selain itu, mahkamah juga mendapati bahawa perayu menggunakan surat tersebut untuk mengelirukan SP12 (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya percaya bahawa beliau mendapat sokongan UMS bagi mendapatkan kontrak M&E (Sistem Mekanikal dan Elektrikal) melalui rundingan terus selama lima tahun, walaupun kontrak tersebut sebenarnya telah diberikan kepada REMT melalui proses tender terbuka.
“Kami juga bersetuju dengan dapatan mahkamah bahawa bukti yang dikemukakan sudah mencukupi untuk menunjukkan bahawa perayu telah memalsukan surat tersebut dengan niat untuk melakukan penipuan, dan tidak perlu dibuktikan bahawa beliau berjaya mencapai matlamat penipuannya,” katanya.
Hakim turut menyatakan bahawa mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa perayu sedar bahawa kontrak M&E telah melalui proses tender terbuka, kerana syarikatnya turut serta sebagai pembida.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial