Dua Peniaga Didenda RM1,500, Miliki Bingkai Gambar Mengandungi Kesalahan Ayat Al-quran

05/03/2025 01:58 PM

KUALA KRAI, 5 Mac (Bernama) -- Dua peniaga, masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki bingkai gambar yang mengandungi kesalahan terhadap ayat al-Quran, Ogos tahun lepas.

Liakathali Sharif, 64, dan Wan Zuraini Abd Rahim, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Liakathali didakwa memiliki 24 bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz serta empat unit muslim zikir plug-in speaker yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), di premis perniagaannya dekat Jalan Ah Seng di sini pada 11 pagi, 26 Ogos 2024.

Wan Zuraini pula didakwa memiliki lima bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN di premis perniagaannya, di jalan, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan KDN Mohd Runaim Sulaiman dan Raja Husin Raja Ibrahim, manakala kedua-dua OKS diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Hafizah Hanapi.

Terdahulu Mohd Runaim dan Raja Husin memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas OKS, bagaimanapun Hafizah merayu agar denda dikurangkan terhadap kedua-dua OKS memandangkan mereka tidak mengetahui mengenai kesilapan ayat al-Quran di dalam bingkai gambar terbabit, selain ia kesalahan kali pertama.

Majistret Amal Razim Alias kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,500 setiap seorang atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. Mereka kemudiannya membayar denda berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan