Mahkamah Tinggi Tolak Keterangan Tambahan Kes Rogol Paul Yong

07/03/2025 05:27 PM

IPOH, 7 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pembelaan untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuan sabitan kes rogol membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, terhadap pembantu rumahnya, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata keterangan saksi tersebut, Pathurrahman, 58, seorang peguam yang beralamat di Sumbawa, Indonesia, tidak menimbulkan keraguan munasabah dan bersifat ‘dengar cakap’.

“Sekalipun keterangan tambahan yang dikemukakan relevan dengan kes dan Orang Kena Tuduh (OKT), undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai bukti dalam perbicaraan, kecuali jika ia memenuhi syarat keterangan yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa keterangan tambahan ini adalah keterangan dengar cakap dan, pada masa yang sama, tidak digariskan di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950,” katanya ketika menyatakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Katanya, pandangan tersebut akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan dalam rayuan Yong.

Abdul Wahab menegaskan dalam keadaan ini, mahkamah mengekalkan keputusan terdahulu bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap sabitan kes, justeru sabitan ke atas Yong perlu dikekalkan.

“Walau bagaimanapun, mahkamah menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Amat Arif hakim-hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan yang sewajarnya,” katanya.

Prosiding yang berlangsung hampir sejam hari ini menyaksikan pasukan pembelaan diwakili oleh Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos, bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu'aini Khalifah.

Pada 5 Feb lepas, mahkamah dimaklumkan oleh saksi pembelaan tambahan, Pathurrahman, bahawa beliau, yang mewakili mangsa dalam kes tersebut, berhasrat menarik kembali keterangan palsu yang diberikan terhadap Paul Yong.

Pathurrahman mendakwa bahawa mangsa memberikan kuasa kepadanya untuk mewakili dengan membuat surat penyataan keterangan, dan beliau turut membacakan penyataan bertulis itu dalam bahasa Indonesia kepada Abdul Wahab.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Yong, 55, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 1 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan