Empat Lelaki Diburu Bantu Siasatan Kes Serang, Tetak Pekerja Restoran

07/03/2025 06:13 PM

TASEK GELUGOR, 7 Mac (Bernama) -- Polis sedang mengesan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes menyerang dan menetak seorang lelaki warga Myanmar hingga maut di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki tempatan pada 3.20 pagi memaklumkan empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang telah menyerang seorang lelaki Myanmar, yang juga pekerja restoran terbabit.

“Siasatan awal mendapati empat lelaki itu memakai topi dan penutup muka, bersenjatakan parang serta menaiki sebuah kereta warna gelap.

“Suspek kemudian turun dari kenderaan dan terus menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di restoran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa dikatakan cuba melarikan diri, namun dikejar suspek yang kemudian menetaknya beberapa kali pada bahagian kepala, tangan dan badan sebelum rebah.

Anuar berkata kesemua suspek melarikan diri menggunakan kenderaan sama, manakala pegawai perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa yang berusia 38 tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Terdapat kesan tetakan pada bahagian lengan belakang tangan kanan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan si mati,” katanya

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HKB untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Shuheri Abdul Rani menerusi talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan