Polis Tahan Empat Individu Larikan Lelaki Sri Lanka

07/03/2025 08:44 PM

ISKANDAR PUTERI, 7 Mac (Bernama) -- Polis menahan empat individu di Kuala Selangor dan Bestari Jaya, Selangor pada 1 Mac lepas kerana dipercayai terlibat dalam kes melarikan seorang lelaki warga Sri Lanka di sebuah pusat cuci kereta di Gelang Patah, di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada majikan mangsa bahawa lelaki berusia 26 tahun itu dilarikan di premisnya kira-kira 9 pagi, pada 28 Feb.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 37 tahun itu kira-kira 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan kekasih seorang daripada wanita ditahan dan difahamkan telah meninggalkan teman wanitanya itu hingga menyebabkan mereka bertindak mengesan serta melarikan mangsa.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata pihaknya turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama dan dua kereta daripada mereka.

Beliau berkata dua lelaki berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini, manakala dua suspek wanita dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes telah ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 27 Mac depan dan kedua-dua suspek yang telah dituduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,000 dan RM3,500,” katanya.

Beliau berkata mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan