Lelaki Didakwa Bunuh Ibu Diarah Jalani Pemeriksaan Mental

09/03/2025 12:31 PM

ALOR SETAR, 9 Mac (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang dituduh membunuh ibunya baru-baru ini, menjalani pemerhatian mental selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah terhadap Abd Rahman Harun, 43, selepas pihak pendakwaan meminta tertuduh menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu sebelum sebarang pengakuan direkodkan.

Dia didakwa membunuh Isah Salleh, 68, di sebuah rumah di Kampung Bok-Bok, Mukim Derga dekat sini antara 7 pagi hingga 8 pagi pada 2 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan minimum 12 kali sebatan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh yang berkemeja-T kelabu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian bagi memastikan sama ada tertuduh mempunyai masalah mental.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 10 April ini bagi mendapatkan status laporan penilaian mental berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan