Serangan Bom Di Sungai Golok Bertujuan Cetus Kekacauan - Timbalan Datuk Bandar

09/03/2025 05:08 PM

KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) -- Serangan ke atas pos kawalan pasukan keselamatan di Pejabat Daerah Sungai Golok, di Wilayah Narathiwat, semalam dipercayai bertujuan mencetuskan kekacauan di selatan Thailand.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Apichet Jeh-Ouma berkata kumpulan penyerang yang berpakaian serba hitam dan bertutup muka menaiki dua kenderaan sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi serta melemparkan bom ke arah pos kawalan.

“Serangan itu menyebabkan seorang anggota keselamatan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Setakat ini, 12 individu lain turut cedera, termasuk empat yang parah dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Golok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Apichet berkata tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut namun dipercayai ia bertujuan untuk mencetuskan ketegangan di pekan yang bersempadan dengan Malaysia itu.

Beliau berkata dua anggota sukarelawan keselamatan yang terkorban dikenali sebagai Muhamad Sabri Nasawan dan Todsapon Paipim.

“Serangan ini dianggap keji kerana dilakukan sebaik umat Islam selesai berbuka puasa di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, peniaga di pekan Rantau Panjang, Muhamad Redzuan Abdullah berkata kejadian tembakan dan letupan bom di Sungai Golok malam tadi amat mengusarkan kerana melibatkan kematian serta kecederaan.

Muhamad Redzuan berkata serangan itu berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand dan bunyi letupan serta tembakan boleh didengari penduduk di Rantau Panjang.

“Penduduk di sempadan menyangka letupan itu hanyalah bunyi mercun oleh budak-budak selepas berbuka puasa tetapi apabila mengetahui ia adalah serangan, saya terus rasa berdebar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Penduduk, Jamilah Mohd Zain pula menasihatkan rakyat Malaysia yang gemar ke pekan Sungai Golok untuk membeli juadah berbuka puasa mengelakkan perjalanan ke sana buat masa ini.

“Jika tiada keperluan penting, elakkan ke sana kerana situasi tidak begitu aman sekarang,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom tersebut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata PDRM sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat dan kawalan ketat telah dikuatkuasakan serta-merta hingga situasi disahkan selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan