KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Polis menahan 26 individu termasuk 18 wanita warga asing disyaki pelacur dalam serbuan di lima lokasi sekitar Bukit Bintang di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam operasi #KLStrikeForce bermula pukul 12.45 tengah malam sehingga 2 pagi itu, wanita warga asing yang ditahan melibatkan lapan dari Uganda, Vietnam (3), Thailand (2) dan Tanzania (2), serta masing-masing seorang dari Indonesia, Nigeria dan Kenya.
“Wanita yang ditahan ini mengaku bekerja sebagai pelacur secara bebas atau freelance di sekitar kawasan itu, dan menyasarkan warga asing yang berhibur di sekitar Jalan Changkat Bukit Bintang sebagai pelanggan dengan mengenakan bayaran RM100 sekali langgan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rusdi berkata dalam operasi yang turut disertai 35 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Kuala Lumpur itu, tujuh lelaki warga asing iaitu tiga Bangladesh dan masing-masing seorang Mesir, Amerika Syarikat, Singapura dan Nepal. Seorang warga tempatan turut ditahan.
“Lelaki berkenaan dipercayai sama ada pelanggan atau penjaga premis.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial