Video Kaitkan Seorang Pemimpin Sabah Dengan Rasuah, SPRM Panggil Pemberi Maklumat Esok

11/03/2025 09:51 PM

KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang pemberi maklumat esok bagi memberi keterangan berhubung video yang mengaitkan seorang pemimpin di Sabah dengan skandal rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan terhadap pemimpin tersebut berdasarkan bukti baharu yang diterima daripada keterangan pemberi maklumat berkenaan.

"Tidak ada isu SPRM cuba melambat-lambatkan atau cuba untuk melindungi mana-mana pihak dalam kes ini.

“Tugas SPRM hanya menyiasat dan bukan sebagai pembuat keputusan," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.

Pada majlis menandatangani nota kerjasama itu, SPRM diwakili Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy manakala DBKK diwakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, disaksikan Azam. 

Semalam, tular video berdurasi lebih empat minit yang mengaitkan pemimpin berkenaan dengan dakwaan rasuah projek perlombongan mineral di Sabah.

Azam berkata setakat ini SPRM belum mengambil keterangan pemimpin terlibat dan video yang tular di media sosial itu perlu dianalisis ketulenannya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan