KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Julai untuk mendengar permohonan injunksi difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 lagi syarikat terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menghalang beliau daripada mengeluarkan atau melupuskan mana-mana asetnya yang bernilai lebih USD346 juta (RM1.6 bilion).
Ini berkaitan saman yang difailkan syarikat terbabit terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dan seorang lagi individu berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih USD346 juta, didakwa diperoleh menerusi penyelewengan dana 1MDB.
Peguam Villasha Anbalagan, yang mewakili semua plaintif iaitu 1MDB dan 10 syarikat terbabit, berkata Hakim Wan Muhammad Amin Wan Yahya menetapkan tarikh itu pada prosiding pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom hari ini.
"Permohonan ini akan didengar pada 10.30 pagi 31 Julai 2025 melalui aplikasi Zoom di hadapan Hakim Wan Muhammad Amin," katanya semasa dihubungi.
Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Rosmah memaklumkan pada tarikh sama, mahkamah juga akan mendengar permohonan anak guamnya untuk mendapatkan butiran lanjut berhubung dakwaan plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka.
Permohonan injunksi Mareva difailkan oleh 1MDB dan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd selaku plaintif pertama hingga keenam.
Lima lagi syarikat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited selaku plaintif ketujuh hingga ke-11.
Dalam permohonan itu, semua plaintif menuntut antara lain, injunksi untuk menghalang Rosmah daripada melupuskan aset berjumlah USD346 juta sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, hartanah atau lain-lain.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.
Pada 9 Mei 2024, 1MDB dan 10 syarikat memfailkan saman itu dengan menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.
Mereka menuntut perintah mahkamah untuk Rosmah membayar USD346,010,489 atau jumlah yang ditaksir oleh mahkamah.
Plaintif juga memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan isteri bekas Perdana Menteri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial