Remaja Perempuan Hilang Selepas Ditegur Leka Bermain Telefon Ditemukan Selamat

12/03/2025 11:12 PM

SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Seksyen 20 di sini, Ahad lepas ditemukan selamat di rumah rakannya di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa yang keluar dari rumah pada 8 pagi, Ahad telah menaiki bas di Seksyen 20 ke stesen bas di Bukit Jalil. 

“Mangsa yang tiada hala tuju menumpang tidur di Surau Darul Bukit Jalil untuk dua malam sebelum mengambil keputusan ke rumah kawan lelakinya yang dikenali melalui Facebook, di Kuala Terengganu dengan menaiki bas.

“Setelah sampai di Terengganu, kawan mangsa terus menghubungi keluarga remaja itu memberitahu mangsa telah sampai di Kuala Terengganu berikutan ahli keluarganya ada memaklumkan mangsa telah lari dari rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata keluarga kawan mangsa kemudiannya terus membawa remaja itu ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati mangsa keluar dari rumah kerana merajuk selepas dimarahi oleh ibu bapanya. 

“Pada 5.11 petang tadi, ahli keluarga mangsa telah tiba mengambil mangsa di Kuala Terengganu dalam keadaan selamat untuk pulang ke Shah Alam,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan