SEREMBAN, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Negeri Sembilan mengeluarkan 682 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Lampu Isyarat yang dilaksanakan di seluruh daerah di negeri ini setakat hari ini.
Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata daripada jumlah tersebut, 486 saman dikeluarkan atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah manakala 196 saman lagi atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan tiada nombor pendaftaran.
"Kita juga menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 berikutan terdapat tiga botol plastik air ketum ditemukan di bawah tempat duduk motosikal yang ditunggangnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata operasi yang dilaksanakan selama 11 hari hingga 22 Mac itu diadakan bagi mengesan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutama yang tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah sekali gus boleh membahayakan pengguna lain.
Ahmad Dzaffir berkata operasi itu juga bertujuan memberi kesedaran dengan mengambil tindakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal termasuk penghantar makanan atau barangan yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial