Mahkamah Perintah Badan Peguam Bayar RM340,000 Kepada Muhammad Shafee Sebagai Ganti Rugi

14/04/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Badan Peguam membayar ganti rugi RM340,000 kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung samannya terhadap Badan Peguam dan dua yang lain berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraan kes liwat. 

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Mahkamah Persekutuan pada 2021 memutuskan bahawa Badan Peguam telah bertindak menyalahi undang-undang dengan membenarkan dan menerbitkan usul mengutuk Muhammad Shafee sebelum merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib. 

"Setelah mempertimbangkan dengan teliti keseluruhan keadaan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah ini menilai ganti rugi yang boleh dituntut oleh plaintif terdiri daripada RM200,000 untuk kerosakan reputasi dan menyakitkan perasaan, RM100,000 untuk kehilangan peluang profesional, RM20,000 untuk tekanan mental dan akibat berkaitan kesihatan, dan RM20,00 untuk ganti rugi teruk.

"Jumlah keseluruhan RM340,000 mewakili pampasan yang adil, munasabah dan berkadar bagi pelanggaran yang dilakukan," kata Ahmad Shahrir.

Pada Mac 2015, Muhammad Shafee selaku plaintif menyaman Badan Peguam Malaysia, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George, kedua-duanya adalah peguam bela pada masa itu, sebagai defendan.

Beliau mendakwa Thomas telah menerbitkan dan mengemukakan usul pada 28 Feb 2015 lepas untuk dibincangkan oleh mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac tahun yang sama dan usul itu disokong oleh George.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee, dan rayuannya berhubung keputusan itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, yang mendorongnya membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 Okt 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi. 

Bagaimanapun Badan Peguam memfailkan semakan pada 19 Sept 2022, dan Mahkamah Persekutuan menolak semakan itu.

Muhammad Shafee ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau akan menderma wang itu kepada badan kebajikan, sama ada untuk kanak-kanak atau peguam uzur yang sedang menghadapi masalah melunaskan bil perubatan mereka. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan