SHAH ALAM, 20 Mei (Bernama) – Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) seorang nelayan tempatan yang hilang pada Sabtu lepas ditamatkan hari ini selepas mayatnya ditemukan pagi tadi.
Mayat Zamri Mohd Harun, 56, ditemukan terapung kira-kira 8.35 pagi pada jarak 4.6 batu nautika dari perairan Hydro Kapar, dekat sini.
Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mayat ditemukan oleh kumpulan nelayan yang turut membantu operasi pencarian sejak semalam.
“Mayat kemudian dibawa ke Jeti Nelayan Sementa sekitar 10.05 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar 11 malam itu, bot fiber dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan dilanggar Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat tunda ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di utara Pulau Klang.
Dua rakan yang terselamat dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan susulan.
Dalam kes berasingan, APMM Selangor menahan sebuah VNT kelas B kerana menangkap ikan sekitar 6.8 batu nautika barat daya perairan Tanjong Karang, petang semalam.
Abdul Muhaimin berkata pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 67 tahun bersama dua awak-awak warga Indonesia berumur 28 dan 37 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan turut melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 … ," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ketiga-tiga individu bersama vesel dan hasil rampasan, iaitu 50 kilogram ikan campur dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial