JPJ KL Lelong 124 Kenderaan, Kutipan Cecah RM237,000

21/05/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur berjaya mengutip RM237,000 menerusi siri lelongan awam pertama tahun ini melibatkan 124 kenderaan yang disita.

Pengarahnya Hamidi Adam berkata daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dilelong kali ini, ia termasuk 108 kenderaan boleh dilesenkan, 16 kenderaan tidak boleh dilesenkan manakala enam lagi kenderaan klon.

“Kita (JPJ) berjaya lelong sepenuhnya kesemua kenderaan disenaraikan dengan bidaan tertinggi diterima sebanyak RM27,000 untuk sebuah lori tipper Mitsubishi Canter, manakala bidaan terendah hanya RM200 untuk sebuah motosikal Modenas ‘scrap’,” katanya kepada pemberita selesai sesi lelongan itu di sini hari ini.

Beliau berkata kenderaan terbabit diperoleh hasil sitaan JPJ menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan, melibatkan pelbagai kesalahan seperti tiada cukai jalan, tiada insurans dan mendapatkan lesen sah.

“Sekiranya pemilik tidak menuntut kenderaan yang disita dalam tempoh tiga bulan, kita akan bawa kes ke mahkamah untuk proses lucut hak sebelum dilelong,” katanya.

Hamidi berkata lelongan seumpama itu diadakan dua kali setahun dan sambutan kali ini menggalakkan walaupun pada sesi kali ini, hanya 85 pembida yang menyertai, kurang daripada sasaran 100 pembida.

Beliau berkata pihaknya turut mengutip wang tambahan RM8,500 iaitu hasil jualan buku berharga RM100 setiap satu yang dibeli semua pembida yang hadir, menjadikan kutipan keseluruhan mencecah RM245,500.

Hamidi dalam pada itu tidak menolak kemungkinan jumlah peserta akan dihadkan pada masa akan datang memandangkan kekangan ruang, namun pihaknya turut berhasrat mendapatkan lokasi lebih luas bagi memberi keselesaan kepada pembida dan petugas.

“Buat masa ini lelongan awam dijalankan secara manual, namun pada masa akan datang kami merancang untuk melaksanakan sistem bidaan secara dalam talian di bawah seliaan ibu pejabat JPJ,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan