PGA Tahan Lelaki Tempatan, Rampas 5,270 Peket Minyak Masak Di Semporna

23/05/2025 07:53 PM

SEMPORNA, 23 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menyimpan dan menjual minyak masak peket bersubsidi tanpa kebenaran dalam serbuan di rumahnya di Kampung Seri Melor di sini semalam.

Komander PGA Sabah Datuk Abdul Rani Alias berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan dalam Op Taring Bravo 2 yang dilaksana PGA Batalion 22 Kunak bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna pada 2.40 petang.

"Pasukan operasi menemukan 310 kotak mengandungi 5,270 peket minyak masak bernilai kira-kira RM15,675 dipercayai untuk dijual secara haram dengan suspek gagal menunjukkan dokumen sah pemilikan atau penyimpanan barang bersubsidi terbabit.

"Selain minyak masak, turut disita satu unit telefon bimbit serta satu set mangga dan kunci yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Rani berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan minyak masak terbabit  daripada pembekal luar daerah dan lelaki itu disyaki melakukan kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kejayaan operasi terbabit mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta aktiviti penyeludupan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan