Dua Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Balik Pulau

24/05/2025 11:10 AM

BALIK PULAU, 24 Mei (Bernama) -- Dua rumah dan sebuah reban burung puyuh di Jalan Kampung Genting, Kampung Genting di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.56 malam sebelum jentera terus ke lokasi kejadian.

"Sebaik pihak bomba tiba mendapati api sedang marak dan kebakaran itu melibatkan dua rumah masing berkeluasan 2,400 kaki persegi serta 800 kaki persegi yang terletak bersebelahan.

"Turut musnah sebuah reban burung puyuh yang berkeluasan 5,250 kaki persegi dan lori satu tan, namun tiada mangsa terlibat atau kemalangan jiwa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat kira-kira 2,000 ekor burung puyuh dalam reban berkenaan, namun tidak dapat mengesahkan jumlah yang mati mahupun selamat, setakat ini.

John memaklumkan pihaknya mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada 12.34 tengah malam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan